Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Ramsar Tasik Bera adalah khazanah negara

Ramsar Tasik Bera adalah khazanah negara

'Ramsar adalah khazanah negara'




TEMERLOH 24 Julai - Pencerobohan di kawasan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera bukan sahaja menjejaskan ekosistem dan biodiversiti di kawasan tersebut tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan negeri ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kawasan tanah lembap seperti di Tasik Bera tidak banyak terdapat di dunia dan lokasi berkenaan adalah satu daripada produk pelancongan utama di negeri.


"Saya terkejut berikutan pendedahan mengenai pencerobohan hutan tanah lembap atau Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
"Rakyat perlu mempunyai kesedaran untuk bersama-sama menjaga khazanah negara demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.


"Dan peranan memelihara khazanah negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak," katanya mengulas mengenai pencerobohan Ramsar Tasik Bera selepas Majlis Rahmat Ramadan di Masjid Felda Lakum, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengurus Felda Lakum, Hassan Mohd Ali.
Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berkata, beliau akan meminta Jabatan Perhutanan negeri memberi taklimat mengenai pencerobohan hutan tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri yang akan datang.
Beliau juga menasihati rakyat menghormati undang-undang supaya tidak menceroboh kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan yang tidak boleh diterokai dan tidak ada maknanya jika ada undang-undang dan peraturan tetapi tidak dihormati.
"Saya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penceroboh kerana Tasik Bera akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai kawasan pertandingan mengenali burung antarabangsa selepas Bukit Fraser.
"Kalau hutan seluas itu sudah dimusnahkan burung yang tinggal di kawasan itu akan berhijrah ke tempat lain dan secara tidak langsung menggagalkan usaha kerajaan negeri untuk menjadi kawasan itu sebagai produk pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya.

Sumber; Utusan Malaysia

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .