Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Terapi OKU tunggang kuda Kuantan

 Terapi OKU tunggang kuda Kuantan

 

 ADNAN Yaakob beramah mesra dengan penunggang kuda orang kurang upaya (OKU), Wong Jing Shuen, 17, pada majlis perasmian acara menunggang kuda bagi Persatuan Orang Cacat Malaysia (RDA) di Pusat Ekuestrian Pahang di Kuantan. Turut hadir Pengerusi RDA, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan). - BERNAMA

 Kaedah terapi dengan menunggang kuda untuk golongan orang kurang upaya (OKU) mungkin agak asing bagi masyarakat di negeri ini tetapi merupakan rawatan terbaik membantu golongan itu meningkatkan kecergasan mereka.

Sehubungan itu, Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) mengorak langkah meluaskan kaedah tersebut dengan mengadakan latihan di Pusat Ekuestrian Pahang Tanjung Lumpur di sini.



RDA yang didaftarkan pada 1994 sebagai pertubuhan amal bertujuan menyediakan peluang kepada golongan istimewa iaitu kanak-kanak dan dewasa menjalankan aktiviti menunggang kuda sebagai salah satu kaedah terapi.


Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, persatuan itu adalah organisasi yang diwujudkan bukan berlandaskan keuntungan tetapi lebih kepada kerja sukarela menyediakan terapi menerusi kaedah menunggang kuda.



Menurut beliau, kaedah itu dilihat mampu membantu memperbaiki tubuh, fikiran dan semangat OKU yang mempunyai kecacatan fizikal, intelektual, cacat pertumbuhan, sosial serta emosi.


"Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan, mereka memberi tumpuan terhadap keupayaan bahasa manakala kanak-kanak autistik pula dapat mendekati kuda sebagai salah satu alat komunikasi.

"Selain itu, kehangatan dan pergerakan kuda yang sempurna amat sesuai untuk merehatkan otot, menguatkan anggota badan dan merangsang peredaran darah selain merupakan aktiviti menyeronokkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.



Menurut Abdul Aziz, setiap penunggang kuda akan dilatih menggunakan kaedah rawatan hipoterapi dan terapeutik yang mampu menguatkan postur badan, mengawal posisi kepala dan baik untuk keseimbangan selain membentuk hubungan rapat antara manusia dengan haiwan.
Katanya, rawatan merangkumi mereka yang mengalami kecacatan fizikal, mental dan emosi seperti cerebral palsy, Sindrom Down dan Rett, gangguan neuro-otot, masalah pembelajaran, psikologi, autisme dan sebagainya.
Tambahnya, ibu bapa serta penjaga tidak perlu gusar tentang keselamatan anak-anak mereka kerana setiap peserta akan dilatih jurulatih bertauliah, pembantu sukarelawan yang berkemahiran serta peralatan yang dijamin keselamatannya.


Dalam pada itu beliau memberitahu, Pahang merupakan cawangan kesembilan memiliki pusat tersebut sehingga kini sebanyak 221 sukarelawan berkhidmat dengan persatuan itu di seluruh negara.
Jelasnya, terapi yang dijalankan dapat membantu golongan tersebut memulihkan fizikal dan mental serta mewujudkan sifat kasih sayang kepada haiwan.


"Diharap lebih ramai sukarelawan tampil memberi sokongan termasuk syarikat serta badan korporat dalam membantu anak-anak OKU menunggang kuda," katanya.

SUMBER; UTUSAN MALAYSIA, DI SINI






KUANTAN 23 Jan. - Kerajaan negeri memberikan geran pelancaran sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Menunggang Untuk Orang Cacat Malaysia (RDA) Pahang bagi menjayakan aktiviti menunggang kuda kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU) di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, geran itu bagi menyokong usaha RDA membantu kanak-kanak OKU menunggang kuda sebagai satu kaedah pemulihan diri atau hippo-therapy.


"Saya dapat tahu menerusi kaedah hippo-therapy ini tahap keyakinan kanak-kanak OKU... kerana aktiviti berkuda ini memerlukan pergerakan semua anggota badan serentak.


"Ini secara tidak langsung menimbulkan semangat keberanian di dalam diri kanak-kanak istimewa ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran RDA Pahang di Pusat Ekuestrian Pahang, di Tanjung Lumpur dekat sini, semalam. - BERNAMA

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .