Subscribe Us

Jom Kenali Sejarah Palawan Malaysia

Sejarah Tok Kenali Pengasas Majalah Pengasuh

Panduan Temuduga Dalam Talian

Panduan Temuduga Online

Panduan Hadiri Temuduga

Panduan Hadiri Temuduga

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Perbaiki kualiti hidup anak terlantar di hospital

Perbaiki kualiti hidup anak terlantar di hospital

 

Siri Akhir

BAGI Tasnim, pergi ke hospital sungguh tidak menggembirakan. Sudah cukup teruk baginya menanggung segala macam kesakitan, ramai pula orang yang sibuk ke sana ke mari tanpa sesiapa pun memberitahunya apa yang sedang berlaku. Setelah tiba, dia dipaksa berbaring di atas katil, dan dilarang bergerak sementara dirinya dicucuk dan ditujah. Sebilah jarum dicucuk ke lengannya dan sekampit air yang besar menitiskan sesuatu yang dingin menerusi jarum ke dalam lengannya.

Setiap beberapa minit mesin di sisi katilnya menghasilkan bunyi bip yang pelik, garisan merah melompat ke atas dan ke bawah pada skrin mesin itu. Tidak cukup dengan itu, seorang wanita berpakaian biru sesekali akan datang dan menyumbat termometer ke dalam mulutnya.
Pada hari-hari yang berlalu, Tasnim mendengar doktor yang datang melawatnya bilabila sahaja dia suka, menyebut sesuatu mengenai leukemia. Hidup di hospital sungguh membosankan. Tiada rakan untuk bermain. Untuk tidur agak sukar kerana keadaannya bising dan yang paling teruk, dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana tidak ada sesiapa pun yang memberitahunya.
Yang dia tahu pelbagai orang akan muncul di sisi katilnya tanpa sebarang pengumuman, dan kemudian sama ada mencucuk atau menusuk sebilah lagi jarum kepadanya. Ia bukan sahaja menyakitkan, tetapi pengalaman yang membosankan.
“Patutlah rakan-rakan saya kata orang yang pergi ke hospital akan mati,” Tasnim memberitahu ibunya.
Pemergian ke hospital sering kali menjadi pengalaman yang melemahkan semangat bagi ramai kanak-kanak. Mereka hilang kawalan ke atas kehidupan sendiri disebabkan rutin yang tidak dapat diramal dan kekhuatiran mengenai sesuatu yang tidak diketahui.
Hasilnya, ramai kanak-kanak benci ke hospital. Bagaimanapun, kanak-kanak yang sakit akhirnya terpaksa juga ke hospital dan ada banyak perkara yang ibu bapa, jururawat dan doktor boleh lakukan untuk membuat keadaannya lebih gembira.
Apabila seseorang anak masuk ke hospital untuk kali pertama, ia adalah perjalanan yang tidak diketahui. Kita mengandaikan kanak-kanak tahu bahawa orang pergi ke hospital untuk menjadi sihat. Sebaliknya, yang mereka ingat ialah masa penantian yang lama, prosedur yang menyakitkan dan kesakitan. Ini bukan pengalaman yang disenangi dan akibatnya, kanak-kanak berasa risau dan takut untuk tinggal di hospital.
Hidup dalam wad sering kali menyebabkan mereka cepat marah, bosan, rindukan rakan-rakan dan sering bimbang bila seseorang kakitangan perubatan masuk ke dalam bilik. Akibat semua ini, kualiti kehidupan seseorang anak sering menurun apabila memasuki hospital. Kualiti kehidupan seseorang boleh diterangkan sebagai tahap kepuasan emosi, sosial dan fizikal dengan kehidupan.
Situasi hospital tempat kanak-kanak berada sering kali menjadi lebih teruk apabila melihat ibu bapa mereka bimbang. Umumnya, ibu bapa yang membawa anak mereka ke hospital selalu risau, bimbang dan khuatir mengenai diagnosis dan hasil rawatan. Mereka sangat risau mengenai kesihatan anak mereka dan menyerahkan hidup anak itu dengan penuh kepercayaan ke tangan kakitangan perubatan.
Ketika di hospital, seorang ibu atau bapa selalu menemani anak. Ibu atau bapa yang berada di hospital terpaksa mengambil cuti dan mengorbankan masa yang dahulunya diluangkan dengan ahli keluarga lain. Ketika cuba menyesuaikan diri dengan rutin wad yang seolah-olah tidak dapat diramal di mana ibu atau bapa selalu tidak pasti apa yang doktor dan jururawat akan katakan selepas itu, ibu bapa menjadi keletihan di segi fizikal dan emosional. Kualiti kehidupan mereka juga merosot. Anak yang melihat tingkah laku dan emosi ibu bapa mereka mula berasa tidak berupaya.
Memang malang kualiti kehidupan kanak-kanak sering menurun ketika berada lama di hospital. Dalam proses ini, ramai yang berasa tidak berupaya kerana seluruh hidup dan rutin adalah dalam tangan kakitangan wad. Kunjungan untuk prosedur yang menyakitkan dan terpaksa memakan ubat yang rasanya tidak disukai tidaklah dapat diramalkan dan ini mengukuhkan lagi perasaan tidak berupaya itu. Penyelidikan menunjukkan, apabila seseorang berasa tidak berupaya akibat penurunan kualiti kehidupan, sistem imun mereka lemah dan menjadi terdedah terhadap penyakit. Ini melambatkan kadar penyembuhan dan kanak- kanak itu mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh. Ini bukan berita baik memandangkan kanak-kanak sepatutnya ke hospital untuk menjadi lebih baik.
Ada beberapa perkara yang kakitangan perubatan boleh lakukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan anak yang tinggal di wad. Seseorang manusia bukan setakat entiti fizikal, tetapi juga dipenuhi dengan emosi dan perasaan. Penjagaan perubatan perlu mempertimbangkan kedua-dua aspek ini dalam seni penyembuhan. Ia bermula dengan penerangan mengenai masalah perubatan dan prosedurnya dalam istilah yang mudah difahami oleh ibu bapa.
Seseorang profesional perubatan yang empatik memang meluangkan masa untuk pesakitnya. Dalam bidang psikologi klinikal, adalah menjadi falsafah bahawa rawatan ke atas anak turut memasukkan unsur yang membantu ibu bapa yang menjaga anak itu. Selain itu, sesetengah struktur dalam sesuatu hari yang patut diberikan pada anak itu ialah jangkaan masa makan, masa prosedur dijalankan, dan masa doktor dan jururawat melawat. Ini menimbulkan suasana yang boleh diramal yang mana akan membuat pesakit dan keluarganya berasa lebih selesa.
Akhir sekali, hidup seseorang anak di wad juga memerlukan sedikit persamaan dengan kehidupan di rumah. Rutin wad boleh diwujudkan dan ini termasuk masa bermain, bersosial, makan, berehat, menonton televisyen, membaca, melawat, prosedur dan belajar. Sesetengah wad kanak-kanak malah mempunyai sekolah hospital di mana kanak-kanak yang tinggal lama dikehendaki terus belajar dengan jumlah kerja akademik yang terhad.
Penyelidikan menunjukkan bahawa rutin dapat membantu mewujudkan penetapan jangka waktu dan ini mengurangkan tahap perasaan murung dalam kebanyakan kanak- kanak yang tinggal di wad.
Kebanyakan tanggungjawab menjaga anak di wad tetap menjadi tanggungjawab kakitangan perubatan. Bagaimanapun, ada banyak perkara yang ibu bapa boleh lakukan untuk menyokong usaha mereka. Sesetengah cadangan yang boleh membantu termasuk membentuk suatu struktur dan jadual waktu ketika anak berada di wad. Ini perlu dilakukan secara bekerjasama dengan kakitangan perubatan dan harus perlu memasukkan masa untuk bermain, belajar dan berehat, di samping aktiviti perubatan dan pengemasan yang perlu.
Ibu bapa patut membawa buku-buku, alatan dan permainan bagi mewujudkan aktiviti untuk anak itu. Di mana yang boleh, cuba ikhtiarkan supaya anak itu berinteraksi dengan kanak-kanak lain di dalam wad. Mempunyai rakan bermain dan berbual dapat membantu meningkatkan semangat anak itu. Sebagai sebahagian daripada struktur, ibu bapa boleh membantu menguruskan lawatan oleh saudara-mara dan rakan-rakan pada waktu yang ditetapkan.
Semua ini memeras kesihatan dan emosi ibu bapa. Oleh itu sebahagian besar dalam menjamin kualiti kehidupan anak ialah untuk memastikan ibu bapanya sihat. Ibu bapa boleh mencapai ini dengan cuba bersikap optimis dan ceria, berhenti seketika untuk berehat sesekali dan saling menyokong satu sama lain dalam masa krisis.

Sumber; Utusan online

Lepasan STAM berpeluang ke Universiti Islam Madinah

Lepasan STAM berpeluang ke Universiti Islam Madinah


AL-QURAN adalah mukjizat yang tidak ternilai hikmahnya dan dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. untuk disampaikan kepada umat manusia.
Malah sejarah ketamadunan dan kegemilangan peradaban Islam bermula dengan kelahiran para ilmuan dan cendekiawan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran.
Atas kelebihan inilah maka Islam menuntut agar sekelian umatnya tidak mengabaikan kepentingan al-Quran walau di mana mereka berada sekalipun. Hakikatnya, al-Quran itu adalah satu cara hidup.
Menyedari peri pentingnya al-Quran dalam membina kekuatan, kestabilan serta ukhuwah umat Islam, maka kewujudan School of Tahfiz al-Quran & Arabic Malaysia (STAM) di atas tanah seluas satu hektar bertujuan melahirkan generasi al-huffaz, berakhlak mulia dan bertakwa.
STAM adalah sebuah institusi pendidikan swasta peringkat sekolah menengah yang menawarkan program pendidikan seimbang antara duniawi dan ukhrawi. Pembinaan STAM yang berkonsepkan tahfiz dan sains adalah antara keunikan yang cuba diketengahkan sejak memulakan operasinya pada awal 2006.
Apa lagi dengan lokasinya yang agak strategik iaitu jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan di kota diyakini satu nilai tambah dalam usaha melahirkan generasi profesional huffaz yang mengamalkan al-Quran dan sunah dalam semua aspek kehidupan seharian. Ini sejajar dengan moto STAM iaitu al-Quran-The Way of Life.
Yang pastinya, tujuan pembinaan STAM itu adalah untuk memberi pendidikan kepada pelajar-pelajar agar cemerlang dalam pelajaran sains, agama dan pada masa yang sama boleh menghafal dan menguasai al-Quran.
Menurut Penolong Kanan STAM, Aman Ahmad, semua pelajar baru diwajibkan menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dalam tempoh kurang dari satu tahun kerana kedua-dua bahasa ini dijadikan bahasa pengantar di STAM.
Mata pelajaran di sini bersifat bersepadu iaitu merangkumi mata pelajaran akademik, al-Quran, hafazan serta bahasa Arab dan agama. Para pelajar dibahagikan kepada dua kategori.
Kategori pertama, menengah bawah bagi pelajar yang berumur 15 tahun ke bawah. Sebanyak 70 peratus terdiri daripada komponen agama dan hafazan manakala bakinya ialah komponen akademik. Bagi menengah atas iaitu 15 tahun ke atas, peratusannya adalah sebaliknya.
Menurut Aman, dalam program pendidikan ini, pelajar-pelajar akan dididik dengan kemantapan dari segi rohani dan jasmani.
Malah ia menekankan kepada dua aspek berbeza tetapi digabungkan dalam satu sistem, Integrasi Pendidikan.
Menghafaz
“Program ini juga mewajibkan semua pelajarnya menghafaz 30 juzuk al-Quran selama tidak lebih tiga tahun,” jelasnya semasa ditemui di STAM di Lot 1456-2, Jalan Cempaka off Jalan Teratai, Sungai Ramal Dalam, Kajang, baru-baru ini.
Namun sebelum diterima masuk ke STAM kata Aman, setiap pemohon akan melalui Ujian Kelayakan Pelajar (UKELP) pada setiap sesi pengambilan pelajar baru.
Dua aspek yang akan dinilai ialah tahap akademik dan tahap penguasaan al-Quran mereka. Ini kerana para pelajar tidak diletakkan mengikut umur tetapi kepada tahap kemampuan atau kebolehan mereka.
“Kemudian, ibu bapa dan pelajar akan ditemuduga secara lisan. Semua syarat ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak tetapi sekurang-kurangnya kami mengetahui kelebihan dan kekurangan pelajar agar dapat dibantu bersama.
“Pun begitu, belum pernah lagi kami menolak mana-mana permohonan pelajar kerana kami memahami setiap masalah terutamanya dari segi disiplin atau kewangan. Kami mahu berlaku adil kepada setiap pelajar serta tidak mengetepikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan,” kata Aman yang turut dibantu sembilan tenaga pengajar.
Tambah beliau, tiga daripadanya adalah guru tahfiz dan selebihnya guru akademik. Mereka terdiri daripada kalangan siswazah lulusan universiti yang diiktiraf kerajaan dan boleh mengajar dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.
Sehingga kini seramai 30 pelajar di STAM yang terdiri antara umur lapan hingga 15 tahun sama ada yang tinggal di asrama atau mengikuti kelas harian disediakan silibus akademik daripada sistem pendidikan nasional. Komponen Arab terbahagi kepada dua silibus iaitu peringkat sekolah rendah menggunakan silibus Arab Saudi dan silibus dari al-Azhar untuk peringkat menengah.
“Kami mengambil silibus dua negara ini bukan suka-suka sahaja. Sebenarnya pihak STAM mempunyai hubungan langsung dengan Universiti Islam Madinah (UIM). Ini bermakna pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang mengikuti tingkatan enam rendah akan mengambil peperiksaan dari UIM.
“Mereka yang lulus ujian kemasukan ini berpeluang menyambung pengajian aliran sains dengan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi sepanjang tempoh pengajian. Kerjasama ini sebagai sokongan merealisasikan harapan pihak UIM melahirkan sebanyak mungkin cendekiawan Islam yang meliputi bidang sains agar terhasilnya saintis Islam,” ujarnya.
Para pelajar juga diberi penekanan dalam aspek disiplin sejak awal bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Yang menariknya, para pelajar ini didedahkan dengan kaedah hafazan yang mempunyai beberapa peringkat. Mereka diberi tempoh tiga hingga enam bulan bagi melancarkan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Ia sebagai panduan bagi memudahkan mereka menghafaz al-Quran.
Amalan
Tempoh tiga bulan berikutnya, mereka perlu pula menghafaz juzuk Amma diikuti surah-surah pilihan atau utama yang menjadi amalan harian seperti al-Waqiah, Yasin, al-Mulk, al-Dukhan, al-Insan, al-Kahfi, al-Rahman dan al-Sajdah. Setelah menguasai semua surah penting itu, para pelajar akan meneruskan dengan menghafaz al-Quran.
Menyentuh tentang kemudahan asas yang terdapat di STAM, Aman berkata, terdapat makmal sains, perpustakaan, bilik komputer, kelas-kelas yang berkonsep terapung, asrama yang boleh menampung sehingga 250 orang pelajar, dewan makan, musalla (surau), bilik pentadbiran, padang dan rumah guru-guru.
Selain itu, kata Aman lagi, menjadi cita-cita STAM untuk tidak membataskan jurang antara produk mereka dengan pelajar di sekolah biasa kerana institusi itu yakin dapat melahirkan pelajar yang boleh menghafaz al-Quran dan pada masa sama memperoleh pencapaian akademik membanggakan.
Di samping itu, para pelajar juga diberi peluang menyertai kegiatan ko-kurikulum seperti praktikal khutbah, sajak dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ia secara tidak langsung dapat membina keyakinan para pelajar itu.
STAM juga merancang menggunakan sebahagian daripada tapak di kawasan sekolah untuk dijadikan taman botani untuk bercucuk tanam dan ternakan ayam. Matlamatnya, hasil daripada usaha sekolah ini dapat dimanfaatkan kepada sekolah sekali gus memberi kemahiran baru kepada pelajar.
Kata Aman lagi, STAM turut menyediakan kelas intensif hafazan dan al-Quran khas kepada lepasan SPM selama tiga bulan dan mereka akan tinggal di asrama.
“Buat masa ini ia terbuka kepada pelajar lelaki. Objektif kami dalam tempoh tersebut mereka mampu menghafaz 15 surah dan 10 juzuk al-Quran selain menguasai ilmu fardu ain, fardu kifayah, fikah dan asas bahasa Arab.
“Kami turut membuka kelas-kelas bahasa Arab untuk lelaki dan perempuan. Kelas ini akan dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari,” jelas Aman yang bercadang mengurangkan yuran bermula tahun depan.
Ini bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan menghantar anak-anak mereka bersekolah di STAM.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai STAM boleh menghubungi mereka di talian 03-8734 3125 atau 019-692 6033 serta 019-280 5879.
Sumber Utusan Malaysia  9/8/2006

Ramai guru berpenyakit akibat stres

Ramai guru berpenyakit akibat stres

 

KUALA LUMPUR 28 Mac - Ramai guru di Malaysia kini menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung malah sedang mendapat rawatan psikiatri kerana semakin stres akibat bebanan tugas yang meningkat.


Guru wanita lebih ramai dihidapi penyakit berbanding dengan guru lelaki malah guru muda juga tidak terkecuali dalam mendapatkan penyakit-penyakit tersebut.


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, andaian ini adalah berdasarkan tuntutan insurans yang telah dibuat oleh guru-guru sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, setiap tahun sebanyak RM2 juta tuntutan insurans telah dibuat oleh hampir 50 guru dengan nilai dari RM44,000 hingga RM120,000.
``Punca penyakit yang dihadapi oleh guru-guru ini dipercayai disebabkan oleh bebanan kerja yang membawa kepada stres sehingga menjejaskan kesihatan guru dan ini diakui oleh guru-guru melalui pertemuan dengan kesatuan.
``Sebagai kesatuan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan guru, perkara ini perlu ditangani kerana jika guru tidak sihat dan produktiviti menurun, bagaimana untuk meneruskan tugas mengajar anak bangsa,'' katanya kepada pemberita pada Persidangan Pendidikan Malaysia ke-10 di sini hari ini.
Menurut Loke Pheng, guru-guru yang mengajar di bandar-bandar besar seperti terutama Kuala Lumpur dan di kawasan pedalaman adalah bilangan yang banyak diserang stres sehingga ada yang perlu mendapatkan rawatan psikiatri.
``Sebagai contoh, ada seorang guru akan keluar kelas setiap kali hujan semata-mata untuk melihat hujan sehingga ia berhenti dan satu lagi kes ialah ada guru yang tidak suka pergi ke sekolah,'' jelasnya.
Tambah beliau, bagaimanapun, kedua-dua kes itu telah pun dirujukkan ke Jabatan Pelajaran Negeri untuk mendapatkan kaunseling.
``Satu kajian telah dibuat oleh NUTP pada tahun lalu mengenai stres di kalangan kakitangan perguruan.
``Sebanyak 9,328 orang telah memberi maklum balas yang terdiri daripada guru kelas, pengetua, pensyarah dan pegawai Jabatan Pelajaran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
``Daripada kajian itu, sebanyak 69 peratus responden bersetuju bahawa mereka bekerja dalam keadaan stres,'' katanya.
Menurut beliau lagi, faktor tertinggi yang menyebabkan stres ialah tekanan daripada ibu bapa dan pelajar yang sering menimbulkan masalah sehingga ada yang ingin menyaman dan membawa kes kesalahan guru ke mahkamah.
Tambah beliau, faktor lain ialah bebanan kerja dan prospek kenaikan pangkat yang tidak mencukupi iaitu daripada 320,000 guru, hanya 40,000 kekosongan sahaja untuk kenaikan pangkat.
``Oleh kerana peluang kenaikan pangkat terlalu sedikit, maka ramai guru yang kecewa sehingga ada yang menjadi guru kelas biasa sehingga bersara.
``Begitu juga dengan ketidakadilan dalam penilaian kenaikan gaji oleh pengetua sedangkan prestasi guru cemerlang.
``Apabila guru stres, maka perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku seperti meluahkan kemarahan kepada pelajar atau mendenda pelajar bagi melepaskan perasaan tertekan tersebut,'' ujarnya.
Yim Pheng berharap kementerian melihat perkara ini secara serius kerana kini guru melakukan pelbagai kerja sehingga membawa kemudaratan kepada kesihatan dan mental.

Sumber; Utusan Malaysia,29/03/2006

Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan

Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan

 

 


SORAYA tidak bercakap banyak ketika ibunya meninggal dunia. Dia merenung jasad ibunya sambil membisu, memegang tangan kaku dan dingin yang suatu ketika dahulu pernah bermain dengannya dan menyuapkannya.
Ketika perkabungan, saudara-mara dan ramai orang yang tidak dikenali datang memeluknya. Disebabkan tiada balasan daripadanya, ramai yang menyangka dia bisu.
Hanya ketika jenazah ibunya diturunkan ke liang lahad dan tanah serta bunga ditaburkan, barulah ada sedikit tanda bahawa seorang anak yang dikenali sebagai Soraya hadir di segi semangat.
Air yang tergenang di matanya mengalir turun ketika tiba masa untuk melangkah pergi, tetapi hanya itulah sahaja yang dapat dilihat. Akhirnya dia membisu kembali seperti sebelumnya.
Dalam minggu-minggu selepas pemergian ibunya, guru sekolah rendah, Soraya semakin khuatir mengenai tingkah lakunya.
Gadis kecil yang dahulunya petah mengajukan pelbagai soalan dan sentiasa berbual dengan kawan-kawan kini tidak menunjukkan emosi.
Memang benar, dia tetap menyelesaikan kerja rumah dan menyerahkan tugasan mengikut masa, namun semua itu dibuat bagaikan mesin yang tiada perasaan.
Dia tidak bermain atau berinteraksi dengan kawan-kawan, hanya duduk menyendiri di satu sudut ketika waktu rehat sambil merenung kosong pada bukunya.
Keadaan di rumah kurang baik kerana banyak perkara yang bapanya terpaksa lakukan di tempat kerja di samping menguruskan barangan milik Allahyarham ibunya. Tambahan lagi, bapanya bercadang hendak mengahwini isteri baru.
Berhadapan kematian mana-mana makhluk hidup bukan satu tugas yang senang, tidak kira sama ada ia adalah kematian ibu atau bapa, saudara, adik-beradik atau haiwan kesayangan. Dalam semua kes, kanak-kanak merasai kesan emosi dan kesedihan.
Ramai orang dewasa berasa sedih ketika berhadapan dengan anak yang kesedihan kerana orang dewasa itu sendiri tidak mampu menangani kematian, dia resah ketika terpaksa menghadapi anak itu.
Kesedihan adalah bahagian biasa dalam mengatasi kehilangan yang tersayang.
Ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan supaya menerima sesuatu kehilangan, dan sebahagian daripada proses yang diambil oleh seseorang untuk kembali pada rutin sebelum ini.
Bagaimanapun, ketika ada banyak isu yang belum selesai atau tidak dikenali, kesedihan boleh menjadi bermasalah. Selepas beberapa bulan, sesetengah gejala fizikal mungkin termasuk perubahan selera, gangguan tidur dan sakit.
Gejala emosi pula terdiri daripada hilang tenaga, tidak boleh menumpukan perhatian, lebih suka menyendiri, naik angin yang tidak dapat dijangka (iaitu marah, menangis), mimpi dan ulang kembali mengenai si mati, sukar membuat keputusan, kesedihan yang mendalam termasuk ingin mati supaya boleh bersama-sama dengan si mati.
Bila kesedihan menjadi bermasalah, anak yang kesedihan itu memerlukan bantuan seorang pakar kesihatan mental yang profesional.
Bagaimana seseorang anak menangani kesedihan bergantung pada beberapa perkara. Ini termasuk cara mereka belajar mengatasi ketegangan dalam hidup mereka sebelum kejadian sedih itu.
Kualiti perhubungan mereka dengan si mati adalah penting. Umumnya, lebih rapat mereka dengan si mati, lebih besar impak kehilangannya.
Keadaan di mana yang tersayang itu mati juga penting. Bila seseorang itu sakit untuk beberapa waktu, ada banyak masa untuk mengucapkan “selamat jalan”, manakala jika kematian itu adalah mendadak ia mengejutkan setiap orang.
Dalam banyak kes, kepercayaan agama dan adat etnik membuat anak-anak itu tahu cara bersedih yang sesuai. Mereka melakukan ini dengan memerhatikan bagaimana ahli keluarga mereka bersedih.
Akhir sekali, sokongan emosi yang anak itu terima daripada keluarga terdekat dan keluarga jauh serta rakan-rakan memainkan peranan dalam menentukan berapa lama anak itu akan bersedih.
Dalam proses kesedihan, ada beberapa perkara yang penjaga boleh lakukan untuk membantu anak mereka mengatasinya dalam cara yang lebih terapeutik.
* Galakkan supaya meluahkan emosi yang mendalam di persekitaran yang selamat
Memang membantu untuk membenar dan menggalakkan anak itu meluahkan emosinya.
Tanyakan dengan lembut mengenai perasaannya, dan nyatakan bahawa tidak mengapa jika dia berasa sedih dan menangis. Jangan ubah pertanyaan itu menjadi satu soal siasat.
Berikan sokongan yang diperlukan menerusi tindakan mendengar yang tiada sebarang anggapan.
Ketika menggalakkan anak itu meluahkan emosinya, ada baiknya jika diluangkan masa untuk mendengar dengan penuh perhatian dalam cara yang tiada sebarang anggapan.
Jangan cuba memberikan nasihat, atau memberitahu anak itu bagaimana dia patut merasanya. Hanya mendengar dan menerima bahawa itulah cara yang anak itu rasai.
* Galakkan anak mengingati kembali peristiwa
Dalam masa meluahkan emosi, galakkan anak itu mengingati kembali masa-masa gembira yang dialami bersama si mati. Anak itu akan ceria sebentar ketika mengenang kembali peristiwa-peristiwa ini.
Kenangan yang positif adalah penting kerana kanak-kanak perlu mampu menyimpan bahagian yang penting mengenai si mati yang disayanginya.
Kenangan positif menunjukkan bahawa setiap kehidupan mempunyai bahagian yang positif dan kenangan ini adalah warisan si mati yang perlu disimpan dan dihargai.
* Akui kekesalan dan perasaan
Sering kali, anak itu mungkin berasa kesal kerana telah bersikap nakal dan membuatkan si mati sakit serta lemah hingga menyebabkan kematiannya.
Akui bahawa anak itu mungkin ada kekesalan ini tetapi yakinkan bahawa bukan dia yang menyebabkan kematian si mati.
Cuba bersikap konstruktif dan tumpukan perhatian ke atas sesuatu yang positif seperti apa yang si mati mahu anak itu lakukan.
* Galakkan anak yang lebih tua supaya menyimpan diari atau melukis pada setiap hari
Sesetengah anak yang lebih tua mendapati bahawa meluahkan perasaan dan emosi mereka menerusi penulisan dan melukis gambar adalah terapeutik.
Ada baiknya untuk membeli sebuah buku latihan, di mana anak boleh melekatkan gambar si mati dan menulis diari atau surat pada si mati pada setiap hari.
Dalam kes lain, kertas lukisan boleh dibeli dan anak itu digalakkan supaya melukiskan perasaan mereka.
Ketika melakukan demikian, dia memindahkan emosi yang dinamakan kesedihan menjadi satu latihan konstruktif yang mampu memulihkan emosi dan perasaannya.
* Membenarkan anak mengucapkan “selamat jalan”
Mengucapkan “selamat jalan” adalah bahagian paling penting dalam menangani kesedihan. Ia membenarkan anak memutuskan perapatan emosi dengan si mati dan bergerak maju ke hadapan.
Kadangkala, masa perkabungan bukan waktu terbaik untuk seseorang anak mengucapkan “selamat jalan”.
Sesetengah kanak-kanak boleh menulis surat, dan mengeposkannya. Yang lain pergi ke tempat upacara agama dan menyalakan lilin.
Malah ada pula yang lebih suka mengunjungi dan membersihkan kubur sebelum mengucapkan selamat jalan. Umumnya, tiada satu kaedah yang betul atau salah untuk mengucapkan “selamat jalan”. 

Setiap cara membawa erti khusus yang tersendiri bagi anak yang sedang kesedihan itu. Dengan membantu seseorang anak mengucapkan selamat jalan secara peribadi, ibu atau bapa itu menggerakkan anaknya dengan lembut ke arah peringkat kedewasaan yang seterusnya. 

Sumber; Utusan Online, 23/4/ 2006

Menangani tekanan rakan sebaya di sekolah

Menangani tekanan rakan sebaya di sekolah


Siri kelapan
SURESH, umumnya seorang budak yang sungguh baik tingkah laku sehinggalah dia memasuki Tahun 2. Dia mula mempamerkan tingkah laku buruk daripada mencuri hinggalah mengejek kanak-kanak lain. 



Pada suatu hari, dia pernah menarik kerusi daripada seorang budak hingga menyebabkannya terjatuh dan cedera. Dia dimarahi oleh gurunya, hampir dibuang sekolah oleh pengetua dan dipukul teruk oleh bapanya. 


Akhirnya, ibu Suresh duduk dengannya dan mendapat tahu bahawa dia melakukan kenakalan itu semua kerana disuruh oleh rakan-rakan. Ramai kanak-kanak melakukan kenakalan kerana desakan rakan-rakan.
Sering kali, kanak-kanak yang tersinggung tidak mahu melakukan kenakalan itu tetapi terpaksa berbuat demikian kerana takut kehilangan rakan, ataupun kenakalan itu membuat mereka berasa bagus di hadapan kumpulan rakan-rakan.
Mempunyai rakan adalah penting bagi kebanyakan kanak-kanak. Ia membuat mereka berasa diperlukan dan istimewa, dan mereka suka menjadi sebahagian daripada sebuah kumpulan yang besar. 


Ia memberikan mereka satu identiti, dan di dalam proses itu rakan memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku satu sama lain. 


Sering kali ada tingkah laku tidak terucap yang penting bila menjadi sebahagian daripada sebuah kumpulan, dan kanak-kanak cuba bersungguh-sungguh untuk melakukan tingkah laku ini supaya dapat berada di dalam kumpulan itu. 


Ia lebih kurang sama seperti orang dewasa yang ingin menyertai sesebuah kelab, persatuan atau parti politik, mereka bersetuju mematuhi semua undang-undang dan peraturannya tanpa soal jawab.
Membantu kanak-kanak mengatasi tekanan rakan sebaya yang memaksa tingkah laku negatif bermula dengan membantu mereka memahami erti sebenar persahabatan.
Ramai ibu bapa terkejut apabila diminta membantu anak mereka memahami konsep ini. Realitinya, tidak ramai kanak-kanak tahu apa sebenarnya rakan sejati. Mereka fikir rakan adalah untuk bermain dan menjadi teman. Oleh itu mereka berasa terhutang budi pada rakan.
Ibu bapa boleh mula menerangkan pada anak-anak apa sebenarnya persahabatan. Sesetengah isu yang ibu bapa boleh sentuh melibatkan bagaimana rakan harus menjaga hati dan bersedia mendengar dan menerima perasaan hati anda.
Tambahan lagi, rakan cuba melihat kebaikan yang ada pada diri anda. Ketika masa sekolah dan masa bermain, mereka berkongsi barang dan mahu meluangkan masa dengan anda. Ketika anda memerlukan bantuan, anda boleh meminta bantuan daripada mereka.
Positif
Biasanya, apa yang ibu bapa boleh lakukan ialah menerangkan perkara yang di atas tadi satu per satu, dan menyuruh anak itu berfikir jika budak-budak yang memberi tekanan padanya itu adalah rakan sejati atau tidak.
Apa yang sering berlaku selepas latihan sebelum ini ialah kebanyakan kanak-kanak akan mengatakan jika budak-budak yang memberi tekanan padanya itu tidak menjadi rakannya, di mana pula dia hendak mencari rakan lain?
Pada saat ini, ibu bapa boleh membantu anak memikirkan cara-caranya iaitu sama ada menggantikan mereka yang memberi tekanan itu, atau membantu anak mencari rakan baru.
Membantu anak mencari rakan baru bererti mengajar anak itu beberapa kemahiran yang akan membantunya membina persahabatan.
Sesetengah daripada kemahiran ini ditumpukan ke arah menggalakkan anak menjadi orang yang lebih positif serta empati.
Ibu bapa boleh mencadangkan bahawa bila berkomunikasi dengan rakan baru, anak itu boleh belajar senyum, mengajukan soalan yang sopan, menerima perasaan rakan baru, mendengar dan membiarkan rakan bercakap tanpa gangguan, berkongsi barang, dan bercakap baik mengenai orang lain.
Sudah tentu, anak tidak boleh diharap untuk mengetahui cara menyebut semua ini secara sendirian, oleh itu ibu bapa harus menunjuk dan melakonkan tingkah laku ini bersama anak itu.
Untuk cuba mengubah budak-budak yang memberi tekanan, anak itu boleh mula menggunakan kemahiran komunikasi yang diterangkan di atas.
Tambahan lagi, ada baiknya jika anak itu belajar beberapa kemahiran yang boleh membantunya mengatakan “tak nak” terhadap tingkah laku buruk dalam cara yang tidak agresif. Kemahiran ini dinamakan ketegasan.
Ketegasan adalah kemahiran mudah yang membabitkan memberitahu seseorang bagaimana tindakan mereka memberi kesan pada anda, dan apa yang anda akan lakukan jika keadaan adalah sebaliknya. 



Ini adalah cara penyampaian hasrat seseorang pada orang lain dalam cara yang tidak agresif. Di sini ada beberapa contoh yang ibu bapa perlu cadangkan supaya anak itu lakukan.



Anak boleh mula dengan memberitahu budak-budak yang memberi tekanan ke atasnya itu bagaimana perasaannya mengenai tindakan mereka.
Pernyataannya boleh dikatakan seperti ini, “Setiap kali awak suruh saya melakukan perkara jahat pada James, saya risau itu akan mencederakan dia.”
Kemudian, anak itu boleh menyatakan apa yang dia suka lakukan, dan apa yang dia boleh lakukan untuk rakan-rakannya. “Jika awak berhenti menyuruh saya melakukan perkara jahat pada James, saya akan berkongsi gula-gula dengan awak.”
Kadangkala tindakan ini berhasil, dan kumpulan budak-budak itu sedar bahawa adalah lebih baik untuk tidak menekan anak itu lagi dan membalas dengan tingkah laku positif bagi mendapatkan ganjaran.
Bagaimanapun, ada ketikanya kumpulan budak-budak ini terus memberi tekanan pada si anak. Pada ketika ini, anak perlu sedar bahawa ini adalah apa yang dikatakan “buli”.
Dia jangan lagi pedulikan mereka dan terus melaporkannya pada guru bahawa mereka cuba memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak diingininya.
Masalah
Tindakan akhir ini agak sukar untuk diikuti oleh anak itu, dan ibu bapa bukan sahaja terpaksa melakonkan peranan dalam tindakan ini dengan anaknya tetapi juga berbincang dengan guru kelas.
Bantuan guru itu boleh diminta untuk respons terhadap anak bila dia meminta bantuan ketika berhadapan dengan buli.
Kanak-kanak perlu diberitahu bahawa tekanan rakan sebaya akan berterusan jika anak itu mengalah pada rakan. Anak itu mesti faham bahawa jika dia melakukan kenakalan, dia yang akan dipersalahkan, bukan rakannya. 


Rakan-rakan hanya mempergunakan dia. Untuk sebab ini anak-anak perlu memastikan bahawa rakan-rakan tidak mengambil kesempatan ke atasnya.
Menangani tekanan rakan sebaya adalah satu masalah yang ibu bapa perlu bantu anak-anak mereka mengatasinya ketika mereka masih kecil. Jika dibiarkan berterusan, masalah akan menjadi lebih teruk.



Suatu hari nanti, kanak-kanak yang telah biasa mengalah dengan tekanan rakan sebaya mungkin terlibat dalam gangsterisme, dadah dan seks remaja.
Kanak-kanak yang ibu bapa berjaya mengajar mereka menangani tekanan rakan sebaya ini ketika mereka masih kecil adalah berada dalam kedudukan yang baik untuk mengatasi ketegangan dalam jangka masa panjang.

Sumber; Utusan, 30/04/2006

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .